Guru merupakan insan yang sangat berjasa dalam kehidupan seseorang. Huraikan cara-cara yang perlu kita lakukan untuk membalas jasa guru.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini sesiapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Insan seperti Raja, Perdana Menteri, jurutera, doktor atau peguam mencapai kejayaan dalam hidupnya kerana diajar dan dididik oleh guru. Kejayaan mereka ini membuktikan bahawa guru sememangnya telah menaburkan banyak jasa dalam melahirkan manusia dan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang di serata tempat. Insan yang bergelar cikgu ini ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain.Oleh hal yang demikian, kita mestilah membalas jasa mereka supaya kita tidak dianggap sebagai kacang melupakan kulit. Kata Saidina Ali, “Siapa mengajar aku satu huruf jadilah aku hamba kepadanya”. Begitulah mulianya kedudukan seorang guru dalam kaca mata masyarakat.
Satu daripada cara untuk kita membalas jasa guru ialah kita hendaklah belajar dengan bersungguh-sungguh ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang. Tiada guru yang mengharapkan balasan material,ganjaran wang ringgit dan hadiah bernilai daripada anak-anak didiknya setelah pelajarnya mengecapi kecemerlangan dalam peperiksaan. Warga pendidik sebenarnya ingin melihat anak didiknya berjaya pada masa depan. Kejayaan tersebut merupakan hadiah yang paling bernilai kepada setiap guru. Oleh hal yang demikian, sebagai pelajar kita perlu memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya apabila guru mengajar, janganlah menimbulkan masalah disiplin yang boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran dan menyakiti hati guru. Guru akan berasa gembira , bahagia dan puas seandainya setiap pelajarnya memperoleh kejayaan dalam setiap ujian mahu pun peperiksaan awam.
Selain itu, kita mestilah sentiasa menghormati guru sama ada ketika berada di sekolah mahupun selepas menamatkan persekolahan. Guru sering diibaratkan sebagai ibu bapa kedua bagi kita. Sebagai contohnya, kita mestilah mendengar nasihat atau tunjuk ajar mereka. Jika kita melawan, biadab atau ingkar arahan guru, ilmu atau pengajaran yang kita terima daripada guru tidak berkat. Sikap berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah juga ibarat hadiah besar kepada guru-guru. Jika semua pelajarnya berdisiplin, pasti guru-guru akan gembira dan seronok mengajar. Apabila kita sudah dewasa, dan mungkin memegang jawatan yang tinggi sekalipun hendaklah sentiasa menghormati guru. Antara amalan yang boleh dilakukan ialah mengucap selamat, bersalam dan memberi salam apabila bertemu dengan guru. Begitu juga bertutur dengan sopan dan tidak meninggikan suara dengan guru. Sabda Nabi Muhammad s.a.w, “Pelajarilah ilmu pengetahuan dan pelajari juga dengan ilmu tersebut ketenangan jiwa dan kerendahan diri. Rendahkanlah diri kamu kepada orang yang mengajar kamu”. (Riwayat Abu Hurairah)
Seterusnya, kita perlu membalas jasa guru dengan sentiasa menghulurkan bantuan jika diminta oleh guru. Dalam hal ini, kita mestilah bersedia pada bila-bila masa untuk membantu mereka. Sebagai contohnya, kita hendaklah ringan tulang untuk membantu guru jika guru meminta bantuan daripada kita untuk menghantar buku latihan dari kelas ke bilik guru dan sebaliknya, begitu juga membantu guru menguruskan aktiviti sukan dan kokurikulum. Amalan sebegini sebenarnya umpama serampang dua mata iaitu di samping membantu dan meringankan beban guru, kita turut dapat mempelajari kemahiran dan ilmu yang tiada dalam buku teks seperti aspek kepimpinan dan pengurusan persatuan dan kelab. Bantuan dan pertolongan yang diberi akan memudahkan dan melancarkan aktiviti dan program yang telah dirancang oleh pihak sekolah.
Bukan itu sahaja, kita boleh membalas jasa guru dengan mendoakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik untuk mereka. Hal ini dapat kita lakukan ketika solat, sembahyang hajat dan juga pada majlis-majlis rasmi di sekolah. Sebagai contohnya, semasa sambutan Hari Guru, selain menghantar ucapan “Selamat Hari Guru”, kita hendaklah berdoa kepada Tuhan agar guru yang telah banyak berjasa kepada kita sentiasa dirahmati oleh Tuhan. Melalui cara ini, kita akan dianggap sebagai murid yang baik, mengenang budi dan sentiasa menghargai jasa guru yang telah menyemarakkan evolusi mental yang berterusan sehingga kita menjadi insan yang berguna pada hari ini dan selamanya.Pada masa yang sama janganlah kita mencarut dan mencela guru dengan kata-kata yang kesat dan berunsur negatif. Guru-guru pasti rasa gembira dan tersentuh apabila mengetahui para anak didiknya sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka dan keluarga.
Satu lagi cara untuk menghargai jasa guru ialah sentiasa menghubungi dan mengunjungi guru di sekolah atau di rumah walaupun kita telah lama meninggalkan bangku sekolah. Kunjungan dan ziarah boleh dilakukan ketika hari raya, ketika pulang bercuti di kampung, pada Hari Guru atau semperna persaraan guru-guru kita. Jauh lebih baik apabila kita mengunjungi guru semasa guru kita sakit atau semasa mengalami sesuatu musibah. Dalam era digital ini, kita juga boleh berkomunikasi, berhubung atau bersembang dengan guru atau bekas guru dengan mudah menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter, e-mel atau blog. Amalan ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara guru dan pelajar, malah dapat mengetahui perkembangan terkini tentang sekolah lama dan kampung halaman. Jika ini berlaku, guru- guru akan rasa diri mereka dihargai.
Kesimpulannya, guru merupakan insan yang banyak berjasa dan bermakna dalam kehidupan kita. Guru ibarat pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam yang gelap gelita. Tanpa guru, kita akan hidup teraba-raba dalam kegelapan. Guru juga umpama tongkat kepada orang buta. Oleh hal yang demikian, kita wajar membalas jasa guru dan mengingati segala pengorbanannya pada setiap masa. Ingatlah bahawa
menghargai jasa guru bukan bererti memberi hadiah yang besar dan mahal kepada mereka, apa yang guru kita inginkan sebenarnya kejayaan kita, kesopanan kita, sikap positif kita , penghormatan yang kita berikan dan keikhlasan hati ketika menghulurkan bantuan atau mengunjungi mereka.
No comments:
Post a Comment