Followers

Friday 6 April 2012

WAJIB BERIMAN KEPADA QADA' DAN QADAR


WAJIB BERIMAN KEPADA QADAR TAQDIR



Asas-asas iman dan perkara-perkara yang berhubung dengannya yang telah dihuraikan dalam jilid yang pertama ini apabila dipelajari dan difahami dengan betul,  diharap dapat menjadi panduan untuk mengetahui dan mengenal Allah dan sifat-sifat-Nya serta ajaran-ajaran yang berhubung dengan iman yang telah disampaikan oleh Rasul-Nya Nabi Muhammad s.a.w.

Setelah rukun-rukun atau asas-asas iman - yang enam - yang telah dibentangkan satu persatu itu diterima oleh akal dan hati seseorang serta diakui dan diyakini kebenarannya maka orang itu dinamakan orang yang beriman kepada Allah dan segala yang diwajibkan beriman kepadanya, kerana makna iman atau aqidah kepercayaan ialah penerimaan akal dan pengakuan hati akan apa yang diketahui dan dikenalnya.


Dengan pengertian yang demikian, maka iman seseorang adalah satu perkara batin yang tersemat dan tetap dalam hati dan jiwanya; tidak ternyata dan tidak diketahui oleh orang lain melainkan dari tingkah laku dan amal perbuatannya.

Jelasnya, iman adalah satu tenaga jiwa yang sangat-sangat bernilai untuk menguasai tiap-tiap tingkah laku dan amal perbuatan manusia. 

Iman yang menguasai dari membentuk keadaan manusia itu bukannya iman yang hanya dituturkan dengan kata-kata yang indah dan menarik, atau yang berupa inginkan kebaikan hanya dengan angan-angan sahaja, tetapi iman yang dituntut itu ialah iman yang berakar tunjang di hati dan dibuktikan oleh amal perbuatan. 

Iman yang menguasai dan membentuk keadaan manusia itu bukannya iman atau kepercayaan yang semata-mata percayakan adanya Allah Tuhan yang menguasai seluruh alam dengan segala undang-undang dan cara peraturan-Nya sahaja, tetapi iman dan kepercayaan yang berisi dengan ingatan kepada Allah s.w.t. yang memberi segala nikmat dan kemewahan,  segala kejadian yang indah dan menakjubkan,  dan segala kebesaran serta ketinggian menurut undang-undang dan cara yang diusahakan oleh masing-masing.

Iman yang berisi dengan ingatan yang tersebut ialah iman yang menjadikan seseorang gemar menghargai keindahan ciptaan Allah Yang Maha Bijaksana dan menghargai kemurahan Allah yang melimpah nikmat-nikmat-Nya yang tidak terhitung.

Gemar menghargai segala yang tersebut adalah dengan jalan seseorang itu taat setia dan patuh kepada undang-undang dan hukum Allah,  dan dengan jalan sentiasa mengenang dan menyebut - sama ada dengan hati sahaja atau dengan lidah sama,  akan limpahan nikmat Allah yang sentiasa meliputi zahir dan batinnya.

Iman yang berisi dengan ingatan yang tersebut ialah iman yang mendesak seseorang supaya melakukan perbuatan dan amal-amal yang diterima dan diredhai Allah dan yang mendesak supaya seseorang selalu berusaha menurut jalan yang lurus dan bermanfaat dalam hidupnya secara perseorangan dan juga dalam hidupnya secara bermasyarakat berdiri di iman yang tersebut menjadikan seseorang berjiwa besar,  gemar atas kaki sendiri, tidak suka bergantung kepada yang lain daripada yang ditetapkan oleh undang-undang dan hukum Allah.

Iman yang tersebut menjadikan seseorang malu merendahkan diri; kepada orang yang tidak disuruh oleh Allah berbuat demikian, juga menjadikan seseorang malu menghulurkan tangannya meminta,  sama ada secara langsung atau tidak, kecuali dengan jalan yang dibenarkan oleh syara'. Iman yang tersebut melarang seseorang jangan sekali-kali berlaku sombong dan bermegah-megah,  kerana segala kekuasaan,  kebesaran, kekayaan dan kebijaksanaan adalah semuanya pinjaman dari Allah,  dan tidak ada;  sesiapa pun yang mengetahui bilakah tiap-tiap satunya akan diambil balik.


Iman yang tersebut bukan sahaja membentuk manusia menjadi baik dari bahagia dengan amal-amal salehnya kepada Allah, tetapi juga membentuk fikiran dan perasaan manusia supaya menghargai sesama manusia amnya sebagai saudara keturunan dan khasnya manusia Islam sebagai saudara - sesama; juga menghargai makhluk-makhluk yang lain sebagai makhluk Allah.


Iman yang tersebut mempunyai ikatan yang kukuh dengan amal perbuatan seseorang, sama seperti ikatan tabiat seseorang dengan tingkah lakunya. Misalnya orang yang bersifat berani maka tingkah lakunya sentiasa berjuang,  dan yang bersifat pemurah maka tingkah lakunya selalu memberi dan menolong.  Demikian juga halnya orang yang mempunyai iman yang tersebut, ia sentiasa melahirkan kepercayaannya itu dengan berusaha menjalankan apa sahaja amal yang saleh, yang diterima Allah, untuk kebaikan dirinya dan masyarakatnya, juga untuk makhluk-makhluk seluruhnya.


Iman yang tersebut menjadikan seseorang tabah hati serta teguh dan sabar dalam segala keadaannya. Ia tidak sekali-kali berputus harapan atau tawar hati sekalipun ia menghadapi berbagai-bagai halangan dan rintangan, kerana apabila seseorang menyingsing lengan menyempurnakan sesuatu dengan ingatan mendapat keredhaan Allah maka ia yakin bahawa ia tetap ditolong dan dibantu oleh Allah `Azza wa Jalla - kalau tidak dengan qadar taqdir yang telah dipilih dan diusahakannya maka tentu dibantu oleh Allah dengan qadar taqdir yang lain pula sehingga berjaya dan sempurna. 


Demikianlah kesimpulannya, mudah-mudahan kita semua sentiasa mendapat hidayah dan taufik dan berjaya mencapai keselamatan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

No comments:

Post a Comment